| |
KS Mk ATM |
 |
|
|

MARKAS ANGKATAN TENTERA
MALAYSIA

PROFAIL
LT JEN DATUK HJ SHAHRON BIN HJ IBRAHIM TUDM
KETUA STAF MARKAS ATM
Leftenan Jeneral Datuk Hj Shahron bin Hj Ibrahim TUDM telah dilahirkan di Tengkera, Melaka pada 24 Mac 1953. Beliau menamatkan pendidikan menengahnya di Cawangan Putera Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Sesudah tamatnya tingkatan lima, beliau telah menyertai latihan pegawai kadet dan ditauliahkan ke dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 15 Oktober 1971. Dengan azam yang kuat, beliau melalui kursus penerbangan dan dianugerahkan sayap penerbang pada tahun 1973.
Beliau telah berkhidmat di dalam pelbagai jawatan di pangkalan TUDM Kuala Lumpur, Labuan, Alor Setar dan Markas TUDM. Beliau juga berkhidmat sebagai Komandan Kolej Tentera Udara di TUDM Alor Setar, Pegawai Memerintah Pangkalan Udara Butterworth, Panglima No 2 Divisyen Udara di Labuan dan sebagai Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan TUDM. Beliau juga berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota di Markas Angkatan Tentera Malaysia dan selepas itu dilantik sebagai Panglima Operasi Udara di Markas TUDM. Kini beliau merupakan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Sebagai seorang juruterbang, beliau telah menamatkan lebih daripada 5000 jam penerbangan yang mana kebanyakannya menerbangkan pesawat VIP dan pesawat pengangkut. Beliau merupakan jurulatih penerbangan yang diiktiraf dan pernah menjawat jawatan Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Penerbangan TUDM di TUDM Alor Setar. Beliau pernah berkhidmat di Namibia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Pemerhati Pengaman. Pendidikan, latihan dan kelayakannya termasuk Diploma Sains Pengurusan, Ijazah Sarjana Keselamatan Antarabangsa dan Perhubungan Awam Ketenteraan dan pendidikan ketenteraan tertingginya adalah di Kolej Pertahanan Nasional di Pakistan.
Leftenan Jeneral Datuk Haji Shahron telah berkahwin dengan Datin Hajjah Raha bte Abdullah dan dikurniakan dua putera dan dua puteri. Beliau gemar menjelajah, menaiki motosikal berkuasa tinggi dan bermain golf.