Majlis pelancaran Karnival Pembangunan Minda ATM 2009 telah selamat disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, YBhg Jen Tan Sri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin di Auditorium Wisma Pertahanan pada 13 Okt 2009. Semasa majlis tersebut, seramai 55 pelajar K-Force yang mendapat Purata Nilai Gred (PNG) 3.50 ke atas untuk semester Disember 2009 telah menerima Sijil Anugerah Dekan yang disampaikan oleh YBhg PTD sendiri.
Pada masa yang sama, YBhg PTD turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Mengarang Esei Anak-anak dan Anggota ATM, Penuntut Terbaik Pusat Pendidikan Wilayah (PPW) dan PPW Terbaik yang jatuh kepada PPW Kolej Tentera Udara (KTU) serta hadiah kepada pemenang Pertandingan Ulasan Buku anjuran Perpustakaan KEMENTAH.
Karnival ini juga turut melibatkan penganjuran Ekspo Pendidikan di Ruang Legar Wisma Pertahanan yang berlangsung selama 3 hari bermula 13 hingga 15 Okt 2009. Ekspo Pendidikan ini melibatkan pameran buku dan promosi oleh IPTA/IPTS.
Bersempena dengan majlis ini juga satu taklimat dan promosi K-Force telah diadakan untuk semua AKS Sumber Manusia, Pengarah-pengarah Kor dan Pegawai Memerintah/Pemerintah daripada ketiga-tiga Perkhidmatan. Taklimat bertujuan memberi penerangan terperinci mengenai perkembangan perlaksanan Program K-Force serta membincangkan permasalahan perlaksanaannya seperti daripada aspek permohonan anggota, dokumentasi dan sesi pembelajaran program K-Force.