|
Galeri Pameran
Perkembangan
sejarah ATM dipaparkan di muzium. Ia
mempunyai ruang pameran luar dan lima
galeri di dalam muzium yang menunjukkan
mengikut era iaitu Kempen Perang Dunia
Kedua (PD 2) di Malaya, Zaman Darurat,
bekas Panglima-Panglima, Dewan Pahlawan
dan misi-misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB).
PERANG DUNIA KEDUA
Galeri menyingkap sejarah Skuad Percubaan
25 orang pada tahun 1933 yang kemudiannya
meningkat kepada dua batalion Askar
Melayu sebelum tercetusnya Perang Dunia
Kedua. Anggota-anggota Skuad Percubaan
yang kemudiannya Kompeni Percubaan akan
sentiasa dikaitkan dengan sifat kegagahan,
taat setia dan keberanian kerena mereka
telah bertempur dengan Tentera Jepun
dan berjuang bersama Tentera Komonwel
untuk mempertahankan Malaya dan Singapura.
Diantara pameran ialah sebuah bilik
berek zaman 1930-an, susun perang "Malaya
Command" tahun 1941, gambar-gambar
Tentera Jepun melanggar Malaya, pertempuran
Pasir Panjang yang tidak dapat dilupakan,
kekalahan Tentera British di Singapura
pada 15 Feb 1942 dan seterusnya Malaya
di bawah pemerintahan Tentera Jepun.
Turut dipamerkan ialah kegiatan dan
rancangan sulit "Force 136"
yang bertujuan untuk mengumpulkan maklumat-maklumat
supaya dapat menyerang Tentera Jepun
sehingga kejatuhannyapada tahun 1945.
Pameran berakhir dengan tumpuan kepada
punca-punca kekalahan dalam kempen.
ZAMAN DARURAT
Artifek yang terdapat dalam galeri ini
termasuk gambar dan lukisan insiden-insiden
operasi, lapuran akhbar, peta kempen,
dokumen yang ditawan dan dairi peribadi
orang-orang yang ada kaitan dengan Darurat
Pertama serta relik sezaman mengisahkan
setiap peristiwa yang berlaku dari tahun
1948 hingga 1960. Topik-topik menarik
termasuklah pengistiharan darurat, keganasan
Parti Komunis Malaya (PKM), situasi
kekacauan politik negara sebelum kemerdekaan,
rancangan Briggs, rundingan Baling,
perarakan berakhirnya darurat dan kemudiannya
operasi-operasi susulan pasukan keselamatan
yang membawa kepada perjanjian damai
yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin
PKM pada 2 Disember 1989.
PANGLIMA-PANGLIMA
Galeri khas ini didedikasikan kepada
bekas Panglima-Panglima Angkatan Tentera
untuk mengenangkan sumbangan dan perkhidmatan
mereka kepada negara. Gambar-gambar,
potret, pakaian seragam, pingat dan
dokumen menyinarkan kehidupan panglima
dan peranan mereka dalam pembangunan
Angkatan Tentera.
DEWAN PAHLAWAN
Tindakan-tindakan pahlawan negara dalam
pertempuran dan aksi-aksi keberanian
yang lain terhadap musuh dipaparkan
melalui lukisan dan fotograf dalam gelari
ini. Anugerah dan pingat gagah berani
yang tertinggi menceritakan kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi kepada panggilan
tugas bagi semua pegawai dan lain-lain
pangkat yang menyertai pertempuran semasa
Perang Dunia Kedua, perjuangan menentang
pengganas komunis bersenjata dan operasi-operasi
pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
di seberang laut. Diantara pahlawan-pahlawan
terkenal melalui sifat-sifat gagah berani
dan pengorbanan mereka adalah Lt. Ibrahim
bin Alla Ditta (PD 2), Kapt M.S.C. Lam
(PBB - Kongo), Kapt Mohd Ghazali bin
Haji Che Mat (Darurat Pertama) dan Sjn
Kanang anak Langkau (Sezaman). Perwira
gagah berani ini dan lain-lain lagi
bersama penganugerahan bintang dan pingat
ketenteraan yang tidak ternilai harganya
ada dipamerkan dalam galeri ini.
PBB
Berakhirnya darurat pada 31 Julai 1960
membolehkan penghantaran Pasukan Khas
Malaya iaitu "Malayan Special Force"
(MSF) untuk operasi pengaman di bawah
bendera PBB di Kongo (kini Zaire). MSF
menjalankan tugas pengamannya dengan
cemerlang dan sangat dihormati oleh
PBB dan Kongo. Sehingga kini, tentera
Malaysia telah menyertai sebanyak enam
misi PBB iaitu Perang Saudara Kongo,
Perang Iran-Iraq, Namibia, Perang Iraq-Kuwait,
Mozambique dan Konflik Kemboja yang
membabitkan 3204 orang. Gambar, pakaian
seragam, peta operasi, pingat, cenderamata
dan kereta peninjau Ferret mempaparkan
penglibatan anggota-anggota kita dalam
melaksanakan tugas mereka di tengah-tengah
kontinen Afrika, Timur Tengah dan Indo-China.
PAMERAN LUAR
Kawasan letak kereta di belakang
muzium adalah tempat di mana kenderaan
berat dan lama Angkatan Tentera, senjata
meriam dan peralatan lain dipamerkan.
diantara pameran yang menarik pelawat
ialah Kereta Perisai Daimler dan sebuah
pesawat pejuang Tebuan (Canadair CL
41G)
|