|
PERBEZAAN ANTARA AKHLAK DAN PERILAKU Oleh Hj Masni bin Hj Sabar
Seperti yang telah dijelaskan bahawa akhlak itu merupakan suatu perkara yang maknawi:iaitu merupakan sifat-sifat bagi diri nafsani atau sifat bagi jiwa dan tabiatnya. Adapun perilaku atau perlakuan hanya merupakan cara amal atau perbuatan. Perilaku adalah gambaran atau terjemahan atau kesanan dari akhlak yang bersifat dalam.
Untuk menjadikan perilaku itu sebagai tanda atau terjemahan yang tepat kepada akhlak maka perlulah ia kepada dua unsur yang tidak boleh dipisahkan:
1. Unsur pengulangan yang berterusan dalam satu cara atau bentuk tertentu sehingga menjadi suatu kebiasaan yang tetap dan sehingga boleh menjadi bukti atas adanya daya kecenderungan yang kuat dan tetap kepada perilaku tersebut. Jelasnya perilaku yang menunjukkan sifat akhlak seseorang itu ialah keseluruhan perilakunya pada sebahagian besar dari usia hidupnya, bukannya yang jarang-jarang atau nadir berlaku atau dilakukan.
2. Ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa perilaku itu lahir dari dorongan dalaman atau yang diistilahkan dengan (al- Hay’ah al – Nafs) bukan dari kesan sebab-sebab luaran yang menyebabkan perilaku itu di buat-buat dan bukan lahir dari tabiat orang yang melakukan itu sendiri. Yang menyebabkan hukuman akhlak yang kita berikan itu tidak menepati dengan akhlaknya yang sebenar.
3. Perilaku atau perlakuan yang menjadi bukti kepada akhlak yang baik atau yang buruk itu pula mestilah menepati dengan apa yang digariskan oleh al-sunnah seperti yang ditegaskan oleh hadis yang bermaksud: “Sesiapa beramal dengan amalan yang bukan dari aku (Rasul) maka adalah ditolak”
Walaupun akhlak itu dapat dibuktikan secara positif melalui kebiasaan perilaku yang tetap namun tidak semestinya demikian pada setiap hal. Oleh kerana itu ketidak adanya kebiasaan perilaku yang tetap tidak bererti seseorang itu tidak mempunyai akhlak kerana ketidak adanya sebab atau ransangan yang melahirkan tindakan atau perilaku tersebut seperti si fakir yang tidak mempunyai apa-apa untuk mengeluarkan bantuan atau derma, sedangkan dalam dirinya ada kecenderungan untuk memberi bantuan atau sifat pemurah. Kita tidak boleh mengatakan dia seorang yang bakhil semata-mata kerana tidak menghulurkan bantuan. Samalah juga kita tidak boleh mengatakannya seorang itu bersifat menerima semata-mata kerana tidak ada benda yang hendak diamblinya.
Kesimpulannya:
Bahawa akhlak boleh diertikan dengan ringkas sebagai kumpulan dari beberapa sifat yang maknawi yang bersifat tetap dalam batin diri manusia. Dengan panduan dan pertimbangan sifat yang telah tetap dalam batin diri atau jiwa. Seseorang itu akan melakukan perbuatan atau perilaku yang menggambarkan sifat yang tetap dalam diri sama ada baik atau jahat. Sejauh mana kuatnya kesan sesuatu perbuatan baik atau jahat. |