KHUTBAH KHAS AIDIL ADHA

TAHUN 1427H/2006M

 

PENGORBANAN MEMBENTUK KEPERIBADIAN MULIA

[ 31 DISEMBER 2006 / 10 ZULHIJJAH 1427H ]

 

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ     *     اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ     *     وَللهِ الْحَمْدُ 

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ.

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ  وَعْدَهُ،  وَنَصَرَ عَبْدَهُ،  وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ.

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ هَذَا الْيَوْمَ عِيْدًا لِّلْمُسْلِمِيْنَ وَجَعَلَ عِبَادَةَ الْحَجِّ وَعِيدَ اْلأَضْحَى مِنْ شَعَائِرِ اللهِ وَإِحْيَاءَهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوْبِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِْينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، ، أُوْصِيْكُم وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ  وَ للهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 

Hari ini, kita dianugerahkan lagi dengan sambutan Aidil Adha. Kita berada di hari ibadat dengan penuh kegembiraan dengan mengingati Allah S.W.T. Kita diharamkan berpuasa selama empat hari berturut-turut sebagai menyatakan kegembiraan kita. Ketahuilah bahawa, setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. ada bersamanya mesej dan pengajaran. Demikian juga Syariat Aidil Adha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran.

 

Pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidil Adha ini adalah kesatuan ummah. Walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, umat Islam adalah umat yang satu di mana sahaja mereka berada. Ia adalah umat yang bersatu dengan menghadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu  " الله رب العالمين " . Maka sudah sewajarnya kita melahirkan kesyukuran kepada Allah S. W.T kerana mengurniakan kepada kita perayaan Aidil Adha dengan syariatnya yang jelas membawa mesej sesungguhnya kesatuan umat adalah tunjang kepada kekuatan Islam.

 

Banyak perkara dapat dilakukan apabila kesatuan dapat diwujudkan dalam kehidupan kita. Kekuatan yang ada juga dapat dipertahankan jika kesatuan ummah berdiri kukuh sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat dengan niat yang satu dan mengucapkan ucapan talbiah, tahmid dan zikir yang sama menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang bersatu.

 

            Firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 103 :

﴿   وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا     آل عمران : 103

Maksudnya :  “Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai“.

 

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ  وَ للهِ الْحَمْدُ

Saudara-saudari kaum muslimin yang dirahmati Allah,

 

Aidil Adha merupakan hari memperingati peristiwa di mana Nabi Ibrahim A.S. diuji oleh Allah Taala agar menyembelih putra kesayangannya  iaitu Nabi Ismail A.S. Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah Taala di dalam surah As-Saafaat ayat 102 - 109 :

 

﴿  فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْىَ قَالَ يَـــبُنَىَّ إِنِّىْ أَرَى فِى الْمَنَامِ أَنِّى أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى ، قَالَ يَآ أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ، سَتَجِدُنِى إِنْ شَآءَ اللهُ مِنَ الصَّـبِرِينَ * فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ* وَنـَـدَيْنَــهُ أَنْ يَآ إِبْرَهِيْمُ * قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ، إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِى الْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَــــؤُا الْمُبِينُ * وَفَدَيْنَـــهُ بِذِبْحٍ عَظِيْمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى الأَخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَى إِبْرَهِيْمَ   الصافات : 102-109

 

Maksudnya :  Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu”, anaknya menjawab: “Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.

 

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ  وَ للهِ الْحَمْدُ

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,

 

Berdasarkan kepada catatan peristiwa tersebut, nyatalah bahawa orang yang berjaya sebenarnya mereka yang bersedia untuk berjihad iaitu orang yang sanggup melakukan pengorbanan terhadap apa sahaja yang ia miliki kerana Allah Taala, termasuklah berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga fikiran, perasaan dan sebagainya.

 

Begitulah juga dengan diri kita, sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi, kita perlulah berusaha dengan gigih tanpa menyerahkan kepada takdir semata-mata kerana kejayaan tidak datang begitu sahaja. Contohnya, tanpa melakukan pengorbanan dalam berbuat sesuatu, biasanya seseorang pelajar akan gagal dalam pembelajarannya, ulama’ akan dipandang sepi, masyarakat dan rumahtangga akan hancur, kampung halaman porak peranda dan negara akan terus dijajah.

 

Oleh yang demikian, marilah kita menghayati erti pengorbanan dengan mengamalkan sikap suka berkorban dalam apa jua bidang bila diperlukan. Sesungguhnya betapa mulianya bila kita membudayakan sikap suka berkorban berdasarkan kemampuan masing-masing terutamanya demi kemaslahatan ummah dan khidmat sosial sejagat seperti:

 

1.            Pengorbanan ilmu bagi orang yang berilmu dalam usaha membina ketamadunan ummah.

2.            Pengorbanan akal fikiran dalam melahirkan masyarakat yang bijaksana.

 

3.            Pengorbanan harta benda dan tenaga bagi membantu orang yang memerlukan bantuan sebagai usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan sesama manusia.

 

4.            Pengorbanan masa untuk melaksanakan perintah Allah walau dalam apa keadaan sekalipun bagi memelihara hubungan baik dengan Allah Taala.

 

5.            Pengorbanan jiwa dan raga sebagaimana yang dilakukan oleh angkatan tentera demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta masyarakat.

 

            Semua bentuk pengorbanan tersebut sangat dituntut dalam Islam demi kesinambungan hidup dan kesejahteraan ummah di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 272 :

 

﴿  وَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ خَيْرٍ فَلأَنْفُسِكُمْ   وَمَا تُنْفِقُوْنَ إِلاَّ ابْتِغَآءَ وَجْهِ اللهِ   وَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُوْنَ    البقرة : 272

 

Maksudnya :     “… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan”.

 

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ  وَ للهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 

Oleh itu, marilah kita renung sejenak tentang apakah bentuk pengorbanan yang mampu kita lakukan? Adakah ianya merupakan sesuatu perkara yang amat kita sayangi atau sebaliknya? Jawapannya hanya pada diri masing-masing kerana kita semua pastinya tahu di mana letaknya kekuatan dan kemahuan kita untuk melakukan pengorbanan demi kepentingan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

 

Mudah-mudahan kita semua dapat menyedari dan berusaha mencontohi pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya. Itulah satu-satunya contoh yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kehidupan manusia di dunia ini. Seseorang ayah sanggup mengorbankan anak kesayangannya demi melaksanakan perintah Allah, walaupun perbuatan itu bertentangan dengan jiwa dan kemahuannya. Akan tetapi demi ketaqwaan dan ketaatannya kepada Allah Taala mengatasi segala-galanya, maka ia bersedia melaksanakan perintah tersebut dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah Taala dan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya  yang bersyukur.

 

            Firman Allah Taala dalam surah ِAl-Haj ayat  37 :

﴿  لَنْ يَنَالَ اللهَ لُحُوْمُهَا وَلاَ دِمَآؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىْ مِنْكُمْ    الحج : 37

Maksudnya :      “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas dan berdasarkan takwa dari kamu”.

 

َبارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

 

 

 

KHUTBAH KEDUA AIDIL ADHA

TAHUN 1427H/2006M

 [ 31 DISEMBER 2006 / 10 ZULHIJJAH 1427H ]

 

اللهُ اَكْبَرُ، اللهُ اَكْبَرُ، اللهُ اَكْبَرُ  *  اللهُ اَكْبَرُ، اللهُ اَكْبَرُ، اللهُ اَكْبَرُ  *  اللهُ اَكْبَرُ  وَ للهِ الْحَمْدُ.

اَلْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِيْنَ ، إِلَهِ اْلأَوَّلِيْنَ وَالأَخِرِيْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا مَعْشَرَ اْلمُسْلِمِيْنَ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِتَقْوَى اللهِ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.                                                                              

Muslim dan muslimat yang dirahmati  Allah,

 

Sebaik-baik haji yang dilakukan ialah haji mabrur iaitu yang dilakukan dengan sempurna mengikut cara-cara yang telah ditentukan serta lengkap dengan segala rukun dan syaratnya. Ibadat haji yang demikian membolehkan seseorang memasuki syurga yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. kepadanya. Selain daripada itu sesiapa yang mengerjakan ibadat haji dan sentiasa memelihara dirinya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang maka ia telah membersihkan dirinya dari segala dosa.  Di dalam perkara ini Rasulullah  S.A.W bersabda :

﴿  مَنْ حَجَّ هذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلمَ ْيَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوْبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ اُمُّهُ  ( رواه البخاري ومسلم )

Maksudnya:       “Sesiapa menunaikan haji ke Baitullaah Al-Haram sedangkan ia tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosa-dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya”.

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 

Sedarlah dan insaflah bahawa ibadat haji jika ditunaikan dengan sebaik-baiknya mungkin akan mampu mengubah kegiatan hidup kita daripada seorang yang malas beribadat kepada Allah Taala menjadi seorang yang rajin beribadat kepadaNya. Ibadat haji juga akan mampu menyedarkan kita bahawa manusia adalah sama sahaja di sisi Alllah S.W.T melainkan mereka dibezakan dengan takwa. Hal ini jelas apabila diperhatikan keadaan para jemaah haji di tanah suci dengan memakai pakaian ihram yang sama dan berhimpun atau berada di tempat sama seperti ketika tawaf dan sa’ie.

Begitu juga dengan amalan qurban yang mana jika dilakukan dengan sebaik mungkin, boleh membentuk sikap kita menjadi pemurah dan penyayang sesama manusia. Sesungguhnya Allah Taala akan membalas amalan tersebut dengan kemurahan rezeki yang mencurah serta limpahan kasih sayangNya yang tidak terbatas bagi setiap pengorbanan yang kita lakukan.

 

Di dalam surah Al-Haj ayat 27 - 28, Allah Taala berfirman :

 

﴿  وَأَذِّنْ فِى النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوْكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِيْنَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيْقٍ *  لِّيَشْهَدُوا مَنَــــفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللهِ فِى أَيَّامٍ مَّعْلُوْمَــــتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيْمَةِ الأَنْعَامِ  فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَآئِسَ الْفَقِيْرَ    الحج : 27 - 28

 

Maksudnya:       “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban), dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang-orang yang susah, yang fakir miskin”.

 

إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَـتـَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِىِّ يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَارْحَمْنَا وَإِيَّاهُمْ بَرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

اللَّهُمَّ اكْتُبِ السَّلاَمَةَ عَلَيْنَا وَعَلى عَبِيْدِكَ الْحُجَّاجِ وَالزُّوَّارِ وَالْمُقِيْمِيْنَ وَالْمُسَافِرِيْنَ فِى الْبَرِّ وَاْلبَحْرِ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ. اَللّهُمَّ ارْزُقْهُمْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اْلأَحْيََاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، اَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ أَنْ تُؤَيِّدَ اْلإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ. اَللّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ عَلَى السَّلاَطِيْنَ الْكِرَامِ وَوُلاَةِ المُسْلِمِيْنَ العِظَامِ، الّذِيْنَ قَضَوْا بِالحَقِّ وَبِهِ كَانُوْا يَعْدِلُوْنَ، وَخُصُوْصًا على " سري فادوكا بكيندا يغ دفرتوان اكوغ ،الواثقْ بالله سلطان ميزان زينَ العابدين إبنِ المرحوم سلطان محمود المُكْتفِى بالله شَاه ". اَللّهُمَّ اجْعَلْ مَالِيزِيَا وَسَائِرَ بِلاَدِ المُسْلِمِيْنَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً.     

 اَللّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ عَلىَ الْحَقِّ وَالدِّيْنِ وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُنَافِقِيْنَ أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيمَانِ وَلاَتَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا، رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ. رَبَّنَا لاَتُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا، وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً اِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِن لَّمْ تَغِْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ. رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِيْنَ كَفَرُوْا  فَاغْفِرْلَنَا رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْمُ.رَبَّنَا ءَاتِنَا فِيْ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار.

عِبَادَ اللهِ ،  إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ  وَالمُنْكَرِ وَالبَغْيِ  يَعِظُكُمْ  لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرُكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ  وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ  وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَر. وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر، لا إِلَهَ إلاَّ الله وَاللهُ أَكْبَر، اللهُ أَكْبَر وَ للهِ الحَمْد .