JANGAN MENIPU DIRI

PW 1 Zakaria bin Md Shah

Para pemimpin kafir seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Ka'ab bin Asyraf, Firaun dan seumpamanya akan merasai azab lebih dari pengikutnya kerana mereka mengajak para pengikut mereka supaya menjadi kafir dan memaksa mereka berbuat demikian.

Pengikut-pengikut seumpama ini juga akan dikenakan seksa oleh Allah di hari Qiamat. Para pemimpin ini dan pengikut mereka akan merasa kesal yang tak kunjung padam sebagaimana yang dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: "Pada hari dibalik-balikkan muka-muka mereka dalam neraka lalu mereka berkata: "Mudah-mudahan kami di atas dunia dulu taat kepada Allah dan rasul". Mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mengikut ketua-ketua dan pembesar kami dan mereka itulah yang telah menyesatkan kami. Wahai Tuhan kami beritahu kepada kami mereka dua kali ganda azab dan laknatlah mereka dengan laknat yang sehebat-hebatnya". (al-Ahzab: 66 - 68)

Sewajarnyalah kita memohon perlindungan daripada Allah SWT dari tertutup mata hati, pendengaran serta pengelihatan dari menerima pengajaran dan petunjuk Allah SWT. memohon supaya pemikiran ini sentiasa mengikut petunjuk Allah dan supaya Allah jadikan kita orang yang mendengar dan mengambil pengajaran daripada apa yang didengar. Letakkan harapan yang sepenuhnya supaya Allah taala jadikan kita melihat dan mengambil pengiktibaran daripada apa yang dilihat dan janganlah Allah jadikan kita orang yang tertutup mata hati, penglihatan dan pendengaran. Lihat firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 8 - 10 yang bermaksud: "Dan terdapat di kalangan manusia ini orang yang berkata: "Kami beriman dengan Allah dan hari akhirat, padahal mereka itu tidak beriman. Mereka itu menipu Allah dan orang-orang yang beriman, mereka itu tidak menipu melainkan diri mereka sendiri sedang mereka tidak sedar perbuatan mereka. di dalam hati mereka ada penyakit lalu Allah Taala menambahkan lagi penyakit itu dan bagi mereka azab yang pedih di atas apa yang mereka dustakan".

Setelah Allah menerangkan mengenai golongan yang bertakwa dan beriman kepada Allah SWT kemudian diikuti pula dengan golongan kafir yang terus terang menentang Islam, di sana terdapat golongan yang ketiga di kalangan manusia iaitu golongan yang dinamakan munafiqun. Pada zahirnya golongan ini mengaku beriman dengan Allah dan hari Akhirat, bersembahyang, berpuasa dan lain-lain seperti orang Islam yang lain tetapi hakikatnya mereka tidak beriman.

Pada zaman nabi golongan ini bersama-sama dengan Nabi, kadang-kadang bersembahyang di belakang Nabi pada hal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka menipu Allah dan menipu Nabi. Mereka menyangka mereka menipu Nabi, tetapi di sisi Allah mereka menipu diri sediri sedang mereka tidak sedar.

Golongan munuafiqin ini pada zahirnya adalah Islam. Kita namakan mereka sebagai orang Islam. Dari segi hukum, tidak boleh kata golongan ini dengan menyebut "kamu kafir". Ini amat merbahaya.

Dalam kehidupan seharian kita bermu'amalah dengan mereka secara Islam. Inilah yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW terhadap Abdullah bin Ubai yang hidup bersama Rasulullah SAW.

Abdullah bin Ubai bersembahyang dibelakang Nabi, bahkan pernah menjadi "Muazzin" untuk bersembahyang bersama Nabi. Tetapi dia menjadi gunting dalam lipatan. dialah juga orang yang membocorkan rahsia orang-orang Islam terhadap musuh-musuh Islam. Di dalam peperangan Uhud dialah yang bersungguh-sungguh memberi pendapat dalam mesyuarat bersama Rasulullah SAW untuk berperang dengan musuh Islam tetapi apabila sampai saat peperangan dialah orang yang pertama lari dari medan peperangan. mudah-mudahan kita tidak tergolongg dalam golongan tersebut.