| |
KEBERSIHAN BATIN JANGAN DIABAIKAN
KEBERSIHAN batin dapat dilakukan dengan membersihkan hati dari
akhlak-akhlak yang keji, seperti sombong, riak, hasad, cinta keduniaan dan
lain-lain. Juga dapat dilakukan dengan mengisi jiwa kita dengan budi pekerti
yang terpuji, seperti tawaduk, mempunyai rasa malu, ikhlas, dermawan dan
sebagainya.
Salah satu jalan untuk menyelamatkan diri kita dari akhlak-akhlak yang buruk
agar memperoleh akhlak mulia telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam
kitabnya Ihya’ Ulumuddin Juzuk yang ke 11.
Kebersihan Zahir
Kebersihan zahir dapat diperolehi dengan meninggalkan segala yang bertentanggan
dengan agama dan menjalankan sesala sesuatu yang sesuai dengan tuntutan syariat
Islam. Barangsiapa menghiasi anggota lahiriahnya dengan beramal soleh serta
memperbaiki jiwanya dengan akhlak mulia, maka sempurnalah kebersihannya. Jika ia
tidak mencapai kesempurnaan itu, tetapi masih berusaha menjalankan kebersihan
itu, iapun masih mendapatkan bahagian kesempurnaan itu sesuai dengan berapa
banyak akhlak keji yang ia hindari dan berapa banyak amal soleh yang ia
laksanakan .
Termasuk dalam kategori kebersihan zahir iaitu menghilangkan segala kotoran di
dalam tubuh, bersuci dari hadas dan najis, menghilangkan bulu yang ada di ketiak,
mencukur kumis serta mmotong kuku. Disunatkan pula memotong kuku yang ada di
tangan, lalu dari telunjuk tangan kanan hingga jari kelingking, lalu jari
kelingking tangan kiri hingga ibu jari dan diakhiri dengan ibu jari kanan.
Pada kaki disunatkan memulai jari kelingking kaki kanan dan diakhiri pada
kelingking kaki kiri sesuai dengan cara kita memasukkan air ke dalam celah jari
kaki ketika berwuduk. Makruh melambatkan membersihkan hal-hal yang tersebut
hingga empat puluh hari. Kebersihan zahir yang lain iaitu menghilangkan kotoran
yang ada di celah-celah dan lubang yang ada pada tubuh kita, membersihkan
kotoran di mata, membuang kotoran yang ada di dalam hidung serta membersihkan
gigi terutama ketika hendak menunaikan ibadah .
Selalu membersihkan pakaian yang kotor dan jangan mengunakan air secara
berlebihan. Beberapa hal yang berhubung dengan kebersihan adalah meminyak
janggut dan menyisirnya, juga sunat merapikan setiap rambut yang dipelihara.
Disunatkan bercelak sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW.
Wangi-wangian
Gunakan pula wangi-wangian khususnya ketika hendak mendirikan solat Jumaat dan
ketika menghadiri suatu majlis. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat suka
mengunakan wangi-wangian, sampai kilauan minyak yang ada di kepala beliau
terlihat dengan jelas. Hal itu ia lakukan agar umatnya dapat memakai
wangi-wangian, tubuh beliau sudah harum bahkan ada sebahagian sahabat
mengumpulkan keringat beliau untuk dijadikan wangi-wangian. Disunatkan bagi kaum
lelaki mengunakan wangi-wangian, tetapi sebaliknya kaun wanita dilarang
mengunakan kecuali ketika bersama dengan suaminya.
Jika dalam keadaan junub, mandilah dengan segera. Sebab orang yang junub
diharamkan berada di dalam masjid dan membaca Al-Quran. Dalam hadis ada
menyebut: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada orang
junub, dan apabila malaikat keluar, syaitan-syaitanlah yang akan masuk dari
segala penjuru.” Jika tidak sempat mandi, basuhlah alat kelamin dan berwuduk.
Berusaha
Kita dituntut memperbaharui wuduk setiap kali mengerjakan solat fardu. Berusaha
untuk sentiasa suci dan berwuduk ketika berhadas, kerana wuduk adalah senjata
mukmin. Apabila senjata sudah ada di tangan, musuh pun tidak akan berani
mendekati kita.
Kita dituntut menunaikan solat dua rakaat setelah berwuduk. Jika tidak mampu,
hendaklah bersuci dari hadas ketika memasuki masjid, membaca Al-Quran, berzikir
dan lain-lain. Semasa berwuduk atau mandi, janganlah hanya melaksanakan yang
fardu saja, sebaiknya tunaikan pula sunnah-sunnah dan adab-adabnya, sesuai
dengan ajaran Rasulullah SAW.
 |