|
|
|
SEJARAH ATM
![]() |
Sejarah moden ATM bermula dengan pengambilan 25 orang
pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933.
Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali
sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938. Batalion
kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia
Kedua bermula di Malaya. Kedua - dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan
mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun. Selepas perang, negara
dilanda pula oleh ancaman Komunis dan keadaan Darurat telah diisytiharkan
pada tahun 1948. Keadaan ini memerlukan pembesaran angkatan tentera. Menjelang
tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion.
Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan
berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai
Persekutuan pada tahun 1952. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun
1957, Tentera Darat telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan
operasi melawan insurgensi. Pada masa ini pasukan Tentera Darat sedang
pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu
untuk menghadapi cabaran masa depan.
![]() |
Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan
Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura.
Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau
Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja
Malaya. Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah
ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun
1941. Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota
Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur. Anggota
-anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat. Malangnya disebabkan
kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan
pada bulan April 1947. Apabila darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera
Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949. Tentera
Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II
pada tahun 1952. Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian
daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah
Melayu pada 12 Julai 1958. Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy
telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan Tentera Laut Diraja Malaya.
Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera
Laut Diraja Malaysia.
![]() |
Titik mula TUDM ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936. Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1950 pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya(RAF Malaya). Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur. Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.
Sejarah lengkap perkhidmatan ATM boleh dilihat di Laman Tentera Darat, TLDM dan TUDM.