GALERI PAMERAN
 
 
Perkembangan sejarah ATM dipaparkan di muzium. Ia mempunyai ruang pameran luar dan lima galeri di dalam muzium yang menunjukkan mengikut era iaitu Kempen Perang Dunia Kedua (PD 2) di Malaya, Zaman Darurat, bekas Panglima-Panglima, Dewan Pahlawan dan misi-misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
PERANG DUNIA KEDUA
 
Galeri menyingkap sejarah Skuad Percubaan 25 orang pada tahun 1933 yang kemudiannya meningkat kepada dua batalion Askar Melayu sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. Anggota-anggota Skuad Percubaan yang kemudiannya Kompeni Percubaan akan sentiasa dikaitkan dengan sifat kegagahan, taat setia dan keberanian kerena mereka telah bertempur dengan Tentera Jepun dan berjuang bersama Tentera Komonwel untuk mempertahankan Malaya dan Singapura. Diantara pameran ialah sebuah bilik berek zaman 1930-an, susun perang "Malaya Command" tahun 1941, gambar-gambar Tentera Jepun melanggar Malaya, pertempuran Pasir Panjang yang tidak dapat dilupakan, kekalahan Tentera British di Singapura pada 15 Feb 1942 dan seterusnya Malaya di bawah pemerintahan Tentera Jepun. Turut dipamerkan ialah kegiatan dan rancangan sulit "Force 136" yang bertujuan untuk mengumpulkan maklumat-maklumat supaya dapat menyerang Tentera Jepun sehingga kejatuhannyapada tahun 1945. Pameran berakhir dengan tumpuan kepada punca-punca kekalahan dalam kempen.
 
ZAMAN DARURAT

Artifek yang terdapat dalam galeri ini termasuk gambar dan lukisan insiden-insiden operasi, lapuran akhbar, peta kempen, dokumen yang ditawan dan dairi peribadi orang-orang yang ada kaitan dengan Darurat Pertama serta relik sezaman mengisahkan setiap peristiwa yang berlaku dari tahun 1948 hingga 1960. Topik-topik menarik termasuklah pengistiharan darurat, keganasan Parti Komunis Malaya (PKM), situasi kekacauan politik negara sebelum kemerdekaan, rancangan Briggs, rundingan Baling, perarakan berakhirnya darurat dan kemudiannya operasi-operasi susulan pasukan keselamatan yang membawa kepada perjanjian damai yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin PKM pada 2 Disember 1989.
 

PANGLIMA-PANGLIMA

Galeri khas ini didedikasikan kepada bekas Panglima-Panglima Angkatan Tentera untuk mengenangkan sumbangan dan perkhidmatan mereka kepada negara. Gambar-gambar, potret, pakaian seragam, pingat dan dokumen menyinarkan kehidupan panglima dan peranan mereka dalam pembangunan Angkatan Tentera.

 
DEWAN PAHLAWAN

Tindakan-tindakan pahlawan negara dalam pertempuran dan aksi-aksi keberanian yang lain terhadap musuh dipaparkan melalui lukisan dan fotograf dalam gelari ini. Anugerah dan pingat gagah berani yang tertinggi menceritakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada panggilan tugas bagi semua pegawai dan lain-lain pangkat yang menyertai pertempuran semasa Perang Dunia Kedua, perjuangan menentang pengganas komunis bersenjata dan operasi-operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di seberang laut. Diantara pahlawan-pahlawan terkenal melalui sifat-sifat gagah berani dan pengorbanan mereka adalah Lt. Ibrahim bin Alla Ditta (PD 2), Kapt M.S.C. Lam (PBB - Kongo), Kapt Mohd Ghazali bin Haji Che Mat (Darurat Pertama) dan Sjn Kanang anak Langkau (Sezaman). Perwira gagah berani ini dan lain-lain lagi bersama penganugerahan bintang dan pingat ketenteraan yang tidak ternilai harganya ada dipamerkan dalam galeri ini.

 
PBB

Berakhirnya darurat pada 31 Julai 1960 membolehkan penghantaran Pasukan Khas Malaya iaitu "Malayan Special Force" (MSF) untuk operasi pengaman di bawah bendera PBB di Kongo (kini Zaire). MSF menjalankan tugas pengamannya dengan cemerlang dan sangat dihormati oleh PBB dan Kongo. Sehingga kini, tentera Malaysia telah menyertai sebanyak enam misi PBB iaitu Perang Saudara Kongo, Perang Iran-Iraq, Namibia, Perang Iraq-Kuwait, Mozambique dan Konflik Kemboja yang membabitkan 3204 orang. Gambar, pakaian seragam, peta operasi, pingat, cenderamata dan kereta  peninjau Ferret mempaparkan penglibatan anggota-anggota kita dalam melaksanakan tugas mereka di tengah-tengah kontinen Afrika, Timur Tengah dan Indo-China.

 
PAMERAN LUAR
 
Kawasan letak kereta di belakang muzium adalah tempat di mana kenderaan berat dan lama Angkatan Tentera, senjata meriam dan peralatan lain dipamerkan. diantara pameran yang menarik pelawat ialah Kereta Perisai Daimler dan sebuah pesawat pejuang Tebuan (Canadair CL 41G)
 
 KEMBALI KE MUKA HADAPAN