mempertahankan kedaulatan dan kepentingan strategik negara


KERJASAMA PERTAHANAN

Malaysia yakin bahawa selain daripada membangun dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia, ia juga perlu menjalin hubungan pertahanan dan keselamatan dengan negara-negara jiran serta negara-negara sahabat. Selama beberapa tahun, Malaysia telah berjaya memupuk hubungan ketenteraan yang erat dengan negara-negara ASEAN dan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik. Hubungan ini dijalin dalam bentuk pendekatan dua dimensi iaitu untuk mewujudkan hubungan dua hala (bilateral) dan hubunganberbilang hala (multilateral).
 
HUBUNGAN DUA HALA

Malaysia sekarang ini menjalin hubungan dua hala dengan semua negara jiran. Hubungan ketenteraan dua hala meliputi pelbagai aspek yang luas seperti lawatan saling balas, program pertukaran anggota, kursus ketenteraan, seminar dan mesyuarat berkala yang membawa kepada perlaksanaan eksesais gabungan pada waktu-waktu yang ditetapkan. Kerjasama dua hala di antara ATM dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Angkatan Tentera Diraja Thailand kini dijalankan dalam bentuk eksesais tentera Darat, Laut dan Udara. Siri eksesais TNI-ATM dikenali Ex Kekar Malindo, Malindo Jaya, Elang Malindo dan Malindo Darsasa. Dengan Thailand, latihan-latihan bersama yang diadakan ialah Ex Landex Thamal, Seaex Thamal, Thalay Laut dan Air Thamal. Kerjasama dengan Angkatan Tentera Singapura dilaksanakan melalui Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA). Antara eksesais dengan Angkatan Tentera Singapura ialah Ex Semangat Bersatu (Tentera Darat), Ex Malapura (Tentera Laut) dan Ex Sarex (Udara) iaitu latihan mencari dan menyelamat.

Kerjasama dengan negara Brunei Darusalam dipertingkatkan dengan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 14 Februari 92. Sementara itu TLDM telah memulakan hubungan dengan Tentera Laut Diraja Brunei melalui Ex Hornbill. Tentera Darat juga mengadakan eksesais darat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja Brunei yang dikenali sebagai Ex Malbru Setia. Hubungan ketenteraan dua hala dengan Filipina juga sedang dalam kajian untuk dipertingkatkan, hasil daripada pertukaran lawatan panglima tentera tertinggi kedua-dua negara. Malaysia juga bekerjasama pada pelbagai peringkat dengan United Kingdom, Australia dan New Zealand di bawah naungan FPDA dan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat.
 
 

PERATURAN PERTAHANAN LIMA NEGARA

Peraturan Pertahanan Lima Negara ataupun Five Power Defence Arrangement (FPDA) ditandatangani pada tahun 1971 dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom. Peraturan ini memperuntukkan sekiranya berlaku sebarang bentuk serangan bersenjata yang dirancang atau dibantu oleh negara asing atau wujudnya ancaman bersifat sedemikian terhadap Malaysia dan Singapura, Kerajaan mereka boleh segera berunding untuk memutuskan langkah yang perlu diambil bersama atau secara berasingan berhubung dengan serangan atau ancaman tersebut.
 
Elemen FPDA yang paling ketara ialah penubuhan Markas Sistem Pertahanan Udara Bersepadu (Integrated Air Defence System - IADS) di Pangkalan TUDM Butterworth. Markas ini diketuai oleh seorang Mejar Jeneral (atau setaraf) dan dianggotai oleh beberapa staf pakar dari lima negara. Pada dasarnya, peranan masa aman IADS ialah untuk membentuk dan menyenggara suatu sistem pengawasan ruang udara Malaysia dan Singapura. Untuk memenuhi objektif ini, IADS sering menjalankan eksesais pertahanan udara ADEX.

 
Di bawah FPDA, beberapa eksesais darat, laut dan udara dijalankan setiap tahun. Antara eksesais tersebut ialah Ex Suman Warrior, Ex Starfish dan Ex Flying Fish. Selain daripada itu Malaysia juga melaksanakan eksesais dua hala dengan anggota-anggota FPDA. Eksesais-eksesais itu ialah Haringaroo, Passex dan Helangaroo dengan Australia, Orang Hutan dan Sterling Tiger dengan United Kingdom, Eksesais Taiaha Tombak, Kris Mere, Night Tiger, Passex dan Helang Kiwi dengan New Zealand dan Eksesais Semangat Bersatu, Malapura dan Sarex dengan Singapura.

Melalui FPDA, Angkatan Tentera negara-negara anggota telah berkesempatan untuk menjalani latihan silang (cross-training) dan berkongsi pengalaman operasi serta doktrin. Selama beberapa tahun, hubungan ketenteraan berbilang hala di kalangan negara anggota FPDA telah mendorong pengukuhan ikatan perhubungan dan memupuk persefahaman yang lebih baik antara satu sama lain. Dari segi hubungan politik dan keselamatan, khususnya di antara Malaysia dan Singapura, FPDA adalah suatu hubungan yang ketara. Ini adalah satu langkah pembina keyakinan yang sangat bernilai di antara kedua-dua negara jiran ini. FPDA bukan sahaja mempunyai nilai keselamatan, tetapi juga mempunyai merit politik dan ekonomi. FPDA mengukuhkan lagi jalinan ekonomi dan politik Malaysia dengan rakan FPDA yang lain iaitu Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.



Sejarah | Organisasi ATM | Markas Angkatan Tentera | Tentera Darat | Tentera Laut
Tentera Udara | Kerjasama Pertahanan |Misi Pengaman | Institusi Latihan
Pingat & Darjah Kebesaran | Pangkat | Kerjaya | Buku Pelawat
Menu ATM